“Sate Sejuk Beku”
Kewujudan usahawan di kalangan penduduk Taman Jaya membuktikan bahawa penduduk di sini mempunyai inisiatif tersendiri dalam menambahkan pendapatan. Terdapat pelbagai jenis perniagaan yang dijalankan oleh mereka seperti pembuatan makanan dan meneroka beberapa bidang keusahawanan.
Perusahaan yang dijalankan di sini adalah di bawah Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Marsam Ngadino merupakan salah seorang usahawan yang menceburi bidang ini bagi menambahkan pendapatan sampingan keluarganya.
Beliau yang menetap di Kampung Tan Sri Hamzah merupakan salah seorang penduduk kampung yang bercita-cita besar untuk terus maju sebagai pembekal sate beku. Selain menyediakan sate yang ditempah pelanggan, Marsam sendiri telah mengambil inisiatif sendiri untuk mempromosikan produknya dengan menjualnya di Pekan Kemayan. Satenya mendapat sambutan ramai disebabkan keaslian campuran rempah ratus yang telah diperap bersama cebisan ayam, daging dan kambing sebelum ia dicucuk menggunakan lidi sate. Kegigihan dan kejayaan beliau menjadi pemangkin kepada penduduk lain untuk turut sama menceburi bidang keusahawanan ini.